Recent Posts
Featured Posts

Herba: Tumbuhan Bersejarah

Pemburu dan pengumpul hasil hutan prasejarah di seluruh dunia merupakan golongan yang pertama untuk mengiktiraf nilai perubatan herba. Hal ini mungkin terjadi semasa proses mengenalpasti tumbuhan yang boleh dimakan dan mampu meringankan kesakitan mereka. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa haiwan juga menggunakan tumbuhan tertentu untuk mengubati penyakit mereka.

Selasih suci (Ocimum tenuiflorum) yang dianggap sebagai tumbuhan suci oleh penganut Hindu, dan digunakan secara tradisional untuk selesema, kencing manis, dan tekanan. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)

Perkembangan tentang ilmu alam sekitar, termasuk ciri penyembuhan herba dirujuk sebagai “kebijaksanaan bumi”. Ilmu ini telah disebarkan dari generasi ke generasi dan menjadi sebahagian daripada budaya tradisional dan tamadun suku kaum. Oleh kerana pada masa itu, penyakit dikaitkan dengan sebab-sebab mistik dan ghaib, herba yang menyembuhkan penyakit dipercayai mampu mengusir roh-roh jahat dan dianggap suci. Oleh itu, penggunaan herba berkait rapat dengan upacara amal, mitos dan sihir yang masih diamalkan oleh sesetengah kumpulan puak pada masa kini. Sebagai contoh, selasih suci, atau nama saintifiknya Ocimum tenuiflorum, masih diberi status penghormatan sebagai tumbuhan yang paling suci oleh penganut agama Hindu di India. Ia ditanam di kawasan kuil serta isi rumah India.

Justeru, penggunaan tumbuh-tumbuhan sebagai ubat tradisional bermula pada zaman prasejarah. Sesetengah tumbuh-tumbuhan ini yang digunakan dalam perubatan tradisional telah digambarkan dalam lukisan purba. Antara contoh termasuk lukisan Sumeria kapsul popi candu yang bertarikh 2500 SM serta batu bersurat kod Hammurabi di Babylon bertarikh 1770 SM yang menyenaraikan jenis-jenis herba yang digunakan dalam bidang perubatan. Di Asia, lukisan ditemui di dinding kuil-kuil kuno seperti yang terdapat di Borobudur, Jawa sejak 900 M. Rekod awal tentang tumbuh-tumbuhan perubatan ditemui dalam perubatan tradisional Cina dan perubatan Ayurveda India, yang telah diamalkan selama kira-kira 4000 hingga 5000 tahun.

Di Mesir, penggunaan herba bermula sejak 5,200 tahun lalu apabila orang Mesir menggunakan herba sebagai kemenyan semasa upacara keagamaan dan pengebumian. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Mesir juga mempunyai taman herba pada masa itu, dan manuskrip bertarikh kira-kira 1550 SM mengandungi butiran penyakit tertentu dan remedi herbanya. Namun, herba yang sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka, dan jenis herba juga terhad. Walau bagaimanapun, pada tahun 1400 SM mereka mampu mendapatkan herba dari China dengan menggunakan Laluan Sutera yang turut menghubungkan laluan perdagangan lain ke India dan Asia Tenggara.

Di Eropah, sumbangan besar telah dibuat dalam bidang perubatan herba pada zaman kegemilangan Yunani. Semasa 460 – 377 SM, Hippocrates, bapa perubatan moden, telah menyingkirkan kepercayaan kuno bahawa penyakit disebabkan oleh roh-roh jahat. Beliau sedar bahawa penyakit disebabkan oleh masalah dalam fungsi fisiologi badan dan mempreskripsikan kira-kira 300 hingga 400 jenis tumbuhan perubatan. Kerja-kerja lain yang terkenal semasa tempoh tersebut termasuk Aristotle (394 – 322 SM) dan Theophrastus (372 – 287 SM) serta Dioscorides (20 – 90 M) yang mengumpulkan De Materia medica, yang menyenaraikan persediaan kira-kira 1,000 jenis ubat. Semasa Empayar Rom, perdagangan herba berkembang dengan pesat kerana masyarakat Rom terpesona dengan herba oriental eksotik dan menggunakannya secara meluas dalam upacara kepercayaan, perubatan, minyak wangi, mandian, kemenyan dan sebagai bahan tambahan untuk makanan dan arak.

Minyak wangi yang disediakan daripada tumbuhan herba lazim digunakan dalam bidang aromatherapi. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)

Namun, kejatuhan empayar Rom telah memutuskan hubungan Eropah dengan perdagangan tradisional serta perdagangan herba. Penanaman herba di Eropah pada tempoh ini kebanyakannya terhad kepada biara Kristian, manakala masyarakat Arab meneruskan perdagangan herba dengan Timur Jauh. Hanya pada masa Perang Salib pada tempoh 1100 hingga 1300 M, pengetahuan herba telah dibawa semula ke Eropah, dan terdapat kebangkitan semula kepentingan dalam perubatan herba. Namun pada tahun 1453, orang Turki telah menyekat Eropah dari laluan perdagangan darat ke India dan China dan orang Eropah terpaksa mencari laluan laut alternatif ke Timur.

Pada tahun 1492, Columbus yang sedang berusaha mencari India melalui Lautan Atlantik mendarat di Dunia Baru, di mana koleksi baharu herba ditemui, dibawa pulang ke Eropah dan diperkenalkan ke seluruh dunia. Antara yang paling utama dalam herba-herba ini adalah pelbagai jenis lada benggala yang kini digunakan secara meluas di Asia. Sementara itu, pada tahun 1948, Vasco da Gama berlayar di sekitar hujung selatan Afrika dan menemui lautan baharu ke India. Dalam masa yang singkat, laluan laut ke pulau-pulau yang kaya dengan herba, seperti di rantau Asia Tenggara dan China telah ditemui.

Semasa Zaman Pembaharuan (Renaissance), karya Yunani awal merupakan satu-satunya sumber mengenai tumbuhan herba dan penyediaan ubat-ubatan. Malangnya, Paracelsus (1493 – 1541) telah menolak semua karya awal tersebut. Beliau mempercayai bahawa Tuhan mencipta tumbuh-tumbuhan dengan tanda-tanda visual jelas tentang penggunaannya terhadap manusia. Sebagai contoh, jika tumbuhan tersebut mengandungi cecair merah maka ia digunakan untuk penyakit darah, daun berbentuk hati digunakan untuk penyakit jantung dan tumbuhan berdaun tiga cuping menyembuh penyakit hati. Walau bagaimanapun, teori simplistik ini telah digantikan dalam masa yang singkat oleh sains perubatan yang semakin mencapai kemajuan, terutamanya dalam abad ke-17 hingga abad ke-20.

Peta ini menunjukkan Pulau-pulau Rempah yang merangkumi Pulau Maluku, serta laluan perdagangan rempah sekitar abad ke-15 (Kredit gambar: ABC News Australia)

Sebahagian daripada sejarah awal Malaysia dipengaruhi oleh perang perdagangan rempah antara kuasa-kuasa Eropah di Kepulauan Melayu. Portugis merupakan kuasa besar pertama mengawal perdangangan rempah di rantau ini, diikuti oleh Belanda selama lebih 200 tahun, dan akhirnya British sejak tahun 1976. Selama beratus-ratus tahun sebelum kedatangan orang Eropah ke Kepulauan Melayu, perdagangan giat dijalankan di rantau ini oleh pedagang India, Arab dan China.

Mereka berdagang dengan orang Melayu yang menetap di petempatan sepanjang sungai dan muara pantai untuk mendapatkan hasil hutan hujan yang kaya serta mineral emas dan bijih timah. Hasil hutan tersebut termasuk resin, kayu beraroma (kayu gharu dan kapur barus), rotan, buah-buahan dan sebagainya. Pelbagai jenis herba turut diperkenalkan oleh pedagang asing di rantau ini, seperti Mentha arvensis (Pudina) dari Sri Lanka dan Indonesia, Piper sarmentosum (Kaduk) dari Indonesia, serta Centella asiatica (Pegaga) dan Ocimum basilicum (Selasih) dari India.

Daun pegaga (Centella asiatica) digunakan sebagai ulam dalam masakan Melayu dan kari dalam masakan India, dan dipercayai bertindak dalam penyembuhan penyakit kulit. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)

Orang India, khususnya, telah memperkenalkan beberapa jenis herba apabila mereka menubuhkan kerajaan Hindu awal di Indonesia dan turut memainkan peranan yang penting dalam sejarah awal Melaka, di mana pengaruh mereka masih didapati dalam beberapa aspek budaya dan makanan Melayu. Kemudian, apabila kuasa-kuasa Eropah tiba di Asia Tenggara, mereka turut memperkenalkan herba sendiri. Antara contohnya termasuk Cosmos caudatus (Ulam Raja) yang berasal dari kawasan tropika Amerika dan digunakan oleh pelayar Sepanyol sebagai sayur-sayuran semasa perjalanan pelayaran yang panjang ke Filipina. Ia kemudiannya diperkenalkan ke seluruh Asia Tenggara.

Herba-herba baru diperkenalkan kepada Malaysia sekitar tahun 1900-an apabila British membawa masuk buruh asing untuk bekerja di ladang. Pada asalnya buruh-buruh tersebut terdiri daripada orang Aceh dan Bugis dari Indonesia, yang dibawa masuk kerana pengalaman mereka dalam tanaman rempah seperti lada dan kopi di bawah pihak Belanda. Kemudian, dengan kejayaan pembukaan ladang getah secara besar-besaran, pekerja India turut membawa masuk beberapa jenis herba yang ditanam di kawasan kuil dan di halaman rumah mereka.

Dipetik daripada buku Herbs of Malaysia tulisan Joseph Samy, M. Sugumaran, Kate L.W. Lee, K.M. Wong)

Puen Yong Jia ialah mahasiswi dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

#articles #herbsofmalaysia #PuenYongJia

Follow Us
No tags yet.
Search By Tags
Archive
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square

© 2015 by The RIMBA Project.

  • Twitter App Icon
  • Facebook App Icon
  • Communication-gmail-icon.png
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now