Pengenalan kepada Herba Ubatan
Istilah botani “herba” digunakan secara khas untuk tumbuhan kecil dengan batang yang lembut dan mengandungi tisu berkayu. Namun, perkataan “herba” juga digunakan untuk semua tumbuhan yang ditanam dan diproses untuk tujuan masakan, kosmetik, ubat-ubatan dan wangian. Penggunaan istilah “herba” mungkin berasal daripada amalan tradisi untuk menanam spesies herba bagi tujuan wangian dan perubatan. Oleh itu, dalam erti kata yang luas, herba mungkin terdiri daripada herba tulen (tumbuhan bertisu lembut) serta pokok renek dan pokok-pokok (bukan herba dari segi botani). Sesetengah herba juga merupakan tumbuhan pendaki, iaitu tumbuhan yang berpaut atau membelit di tumbuhan lain dengan bantuan apendej khas. Herba juga merangkumi tumbuhan akuatik sperti Chlorella dan Spirulina, serta fungi seperti Ganoderma. Bahagian-bahagian tumbuhan yang digunakan termasuk bahagian udara, seperti daun, batang, bunga dan buah, atau batang bawah tanah dan akar.
Herba biasanya dihidang sebagai ulam di negara Asia Tenggara, seperti Malaysia. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)
Adalah dianggarkan bahawa terdapat kira-kira 400,000 spesies tumbuhan di habitat daratan seluruh dunia. Hutan hujan tropika mengandungi bilangan terbesar tumbuh-tumbuhan, di mana hutan hujan tropika Asia Tenggara dianggarkan menyokong 6,500 spesies tumbuhan perubatan. Di Malaysia, jumlah kawasan hutan hujan pada abad ke-20 adalah sebanyak 19.12 juta hektar, iaitu sebanyak 58.1% daripada jumlah keluasan tanah di negara ini. Dianggarkan terdapat kemungkinan kira-kira 20,000 spesies tumbuhan di hutan hujan Malaysia, dengan sebanyak 10% yang dilaporkan mempunyai nilai perubatan. Terdapat 2,000 spesies herba yang digunakan untuk kegunaan perubatan, kewangian dan minyak pati, ubat perosak semula jadi serta pelbagai produk makanan seperti makanan kesihatan, makanan tambahan serta untuk mengeluarkan rasa, intipati atau bahan pewarna.
Herba kering dijual di kedai perubatan tradisional Cina. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)
Metabolit yang dihasilkan oleh tumbuhan dikategorikan sebagai primer dan sekunder. Sebatian metabolit utama memainkan peranan penting dalam fungsi kehidupan tumbuhan tersebut, seperti fotosintesis, pernafasan dan sebagainya manakala sebatian sekunder melaksanakan fungsi-fungsi lain seperti menghasilkan warna dan wangian bunga untuk tujuan pendebungaan, atau racun sebagai penghalang kepada perosak. Herba menghasilkan kuantiti sebatian kimia sekunder tersebut dalam bilangan yang kecil. Sebatian kimia ini mungkin dalam bentuk minyak yang boleh meningkatkan rasa makanan, atau wangian yang digunakan untuk menyediakan minyak wangi serta dalam bidang aromaterapi. Sebatian sekunder lain terdiri daripada asid lemak, gam atau resin yang juga digunakan sebagai perisa seperti dalam rempah, kemenyan atau dalam perubatan tradisional. Sebatian kimia sekunder ini yang amat kompleks boleh menjadi kompaun bioaktif dalam fisiologi manusia sebagai ubat-ubatan, dan sesetengah daripada sebatian kimia sekunder digunakan secara meluas dalam bidang perubatan moden.
Terdapat sekumpulan herba yang dimakan secara mentah di pelbagai negara, terutamanya di rantau Asia Tenggara. Di Malaysia, herba-herba ini digelar sebagai “ulam” dan dihidangkan sebagai salad dalam hidangan Melayu tradisional. Herba-herba ini dimakan secara mentah atau dicelur dalam air panas untuk menghilangkan getah yang terkandung dalamnya, dan biasanya dimakan dengan mencelupkannya dalam sambal untuk meningkatkan rasa.
Sayur ulam dijual di pasar tamu. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)
Pasaran dunia untuk phytomedicine (bidang kesihatan tumbuh-tumbuhan), farmaseutikal, minyak pati dan ubat perosak semula jadi amat besar dan masih berkembang. Tradisi berbilang budaya di Malaysia dalam ubat-ubatan herba, permintaan dunia dalam perubatan alternatif yang kian meningkat serta potensi mengekstrak sebatian bioaktif daripada hutan hujan tropika yang kaya dalam negara membolehkan Malaysia meneroka pasaran dunia dalam bidang kesihatan tumbuh-tumbuhan dan makanan kesihatan.
Contoh ubat supplemen yang dijual di pasaran. (Kredit gambar: Marshall Cavendish)
(Dipetik daripada buku Herbs of Malaysia tulisan Joseph Samy, M. Sugumaran, Kate L.W. Lee, K.M. Wong)
Puen Yong Jia ialah mahasiswi dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.