top of page

Tiga Primat Bako: Bolehkah mereka hidup bersama kita?

Terpencil dan terkecil, Taman Negara Bako, berkeluasan 2727 hektar, merupakan taman negara yang unik di Sarawak. Perjalanan menuju ke Taman Negara Bako perlu mengambil masa selama kira-kira 20 minit dengan menggunakan bot. Namun begitu, pelancong digalakkan melawat Bako ketika musim bukan monsun kerana keadaan laut yang lebih selamat. Mampu dikunjungi sehingga 28,000 pengunjung setahun, taman negara tertua di negeri Bumi Kenyalang ini adalah “rumah” bagi kebanyakan spesies tumbuhan dan haiwan di Sarawak. Istimewanya, kewujudan bersama tiga spesies primat daripada famili Cercopithecidae iaitu Bangkatan, Lotong dan Kera. Di sini, para pelancong berpeluang menikmati pengalaman melihat secara jarak dekat tiga spesies primat tersebut tanpa mengganggu tingkahlaku semulajadi di habitatnya.

Bangkatan (Nasalis larvatus), spesies unik kepada kepulauan Borneo, adalah tarikan utama di Taman Negara Bako kerana lokasinya mudah untuk melihat haiwan ini selain di Semenanjung Klias dan Sungai Kinabatangan yang kedua-duanya terletak di Sabah. Selain itu, primat ini amat menarik perhatian kerana rupa parasnya yang menonjol dengan berhidung besar dan berperut buncit bagi bangkatan jantan.

Habitat semulajadinya adalah di kawasan pantai dan kawasan berdekatan sungai. Monyet Bangkatan biasanya membentuk dua jenis kumpulan iaitu yang terdiri daripada jantan sahaja dan yang terdiri daripada jantan tunggal dengan beberapa betina dan anak-anaknya. Bilangan ahli kumpulan adalah di antara 4-15 individu. Anak yang lahir mempunyai muka berwarna biru atau kehitaman.

Spesies ini mempunyai sikap toleransi yang tinggi dan tidak mempunyai wilayah yang tersendiri. Oleh itu, ia boleh hidup dengan spesies primat lain termasuklah berkongsi tempat tidur dan kawasan mencari makanan. Kumpulan Bangkatan akan mengembara bersama kumpulannya pada jarak sejauh 300-2000 meter dalam sehari. Mereka turut mampu berenang atau melompat pada pokok untuk merentasi sungai. Antara aktiviti harian Bangkatan termasuk berehat (77%), makan (20%), bergerak (2%), bersosial (0.5%), dan lain-lain (0.5%).

Sumber makanan utama primat ini terdiri daripada dedaun, bunga, bijian dan buah-buahan. Walau bagaimanapun, 97% diet bijian adalah melalui pemakanan benih buah-buahan yang telah masak. Ia juga memakan anai-anai dan sarangnya yang dibina di atas pokok dan juga kulit pokok.

Lotong kelabu (Trachypithecus cristatus) adalah sejenis spesies lotong yang boleh dijumpai di Taman Negara Bako yang juga menggemari kawasan paya bakau, sekitar pantai dan hutan sungai di pantai barat semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera. Lotong memerlukan sumber dedaun yang banyak dan harus sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mendapatkan makanan yang lebih bagi menampung bilangan ahli yang banyak. Kumpulannya terdiri daripada seekor jantan dan beberapa betina dengan bilangan ahli antara 15-30 individu.

Lotong menghabiskan masa hariannya dengan makan (58%), istirehat (19%), berpindah tempat (10%), lain-lain (13%). Lotong jantan akan bersama kumpulan asalnya sehingga satu umur tertentu dan akan meninggalkan kumpulannya untuk membentuk kumpulan lain. Tetapi, Lotong betina akan kekal bersama dengan kumpulannya sehingga akhir hayatnya. Lotong betina yang mempunyai anak akan menunjukkan sifat dominan jika dibandingkan dengan Lotong betina yang tiada anak. Lotong betina akan bersilih ganti untuk menjaga anak yang masih kecil sehingga bertukar warna dari oren kepada kelabu sepenuhnya.

Terdapat kumpulan Lotong yang tinggal di kawasan hutan bandar seperti di Bukit Melawati dan Taman Alam Kuala Selangor yang sering dikunjungi para pelancong. Para pelancong dibenarkan untuk memberinya makan dan pada masa yang sama menikmati keunikan Lotong yang jinak dengan manusia.

Kera (Macaca fascicularis) adalah spesies monyet yang ‘terkenal’ di seluruh Malaysia kerana kewujudannya yang boleh menyesuaikan diri di kawasan penempatan manusia selain di kawasan liar termasuk di Taman Negara Bako. Primat ini hidup secara berkumpulan dengan bilangan ahli dalam setiap kumpulan bergantung kepada keadaan semasa. Contohnya, jika tidak ada pemangsa atau ancaman lain dalam persekitarannya, Kera akan memilih untuk hidup dalam kumpulan yang lebih kecil. Ahli kumpulan Kera mungkin terdiri daripada lima individu sehingga mencecah 50 individu dalam satu kumpulan.

Namun begitu, pertindihan antara kumpulan sentiasa berlaku di mana ahli kumpulan berbeza akan saling silih berganti dengan kumpulan lain untuk mengelakkan pembiakbakaan dalam (inbreeding). Bagi menyokong teori asas dalam menghasilkan generasi yang mampu bersaing (survival of the fittest), kebanyakan anak yang berada dalam kumpulan merupakan hasil ketua jantan yang paling gagah dalam kalangan kumpulannya. Selain itu, ketua mempunyai keutamaan terhadap makanan yang dijumpai dan diikuti oleh ahli dari kedudukan yang lebih rendah dalam kumpulan bagi mengelakkan pergaduhan.

Sistem birokrasi ini kadang-kala tidak dituruti. Contohnya, ahli bawahan harus sampai ke tempat makanan terlebih dahulu sebelum ketua tiba menurut kata pepatah, ‘siapa cepat, dia dapat’. Ketua jantan membantu dalam melindungi ahli kumpulannya dari ancaman luar. Kera betina akan menghabiskan masa membersihkan badan sesama individu betina dan anak lain.

Kera merupakan haiwan omnivor, dan memakan haiwan lain seperti ketam, telur burung dan serangga malah diet mereka juga telah merangkumi makanan yang dimakan manusia. Penyesuaian terhadap makanan manusia telah disebabkan oleh kekurangan sumber makanan semulajadi di habitat mereka yang diganggu. Bukan itu sahaja, pelancong juga seringkali memberi makanan kepada kera-kera di kawasan rekreasi dan pelancongan menyebabkan spesies ini terus bergantung terhadap manusia untuk mendapatkan makanan melalui cara mencuri dan melibatkan keganasan.

Populasi Kera yang berlebihan kadangkala menyebabkan ia menjadi haiwan perosak pada ladang dan mengganggu ketenteraman di kawasan rekreasi dan pelancongan dan juga di kawasan penempatan manusia. Demi mengurangkan interaksi kera-manusia ini, beberapa langkah proaktif harus diambil seperti mewujudkan “buffer zone” iaitu kawasan perlindungan kera yang menyediakan ruang dan sumber makanan mencukupi.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan haruslah bijak menguruskan sampah dengan menyediakan tong-tong sampah yang “kalis kera” dan sentiasa mengosongkan tong-tong tersebut. Para penduduk tempatan dan pelancong juga harus peka dengan kempen-kempen kesedaran supaya interaksi kera-manusia bukanlah lagi isu yang serius.

Kera telah menyesuaikan diri dengan makanan manusia dan kawasan penempatan manusia.

Taman-taman negara telah menjadi habitat yang selamat bagi hidupan liar di Malaysia walaupun kadangkala diancam penceroboh apabila kawalan sempadan kurang diketatkan. Namun begitu, keadaan persekitaran yang stabil dengan sumber yang mapan di taman negara mampu membantu pengembangbiakan hidupan liar termasuk tiga primat Bako. Malangnya bagi primat yang hidup di luar taman negara, kehidupan mereka sering diancam kerakusan dan keganasan manusia serta kehilangan habitat semulajadi.

Langkah yang boleh diambil untuk membantu mereka ialah dengan mewujudkan kawasan-kawasan perlindungan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti mempunyai populasi mereka yang tinggi. Sekiranya kurang bersesuaian, tempat lain seperti bekas tapak pertanian atau perlombongan boleh menjadi tapak habitat baru yang sesuai. Malah, sisa-sisa hutan dalam kawasan atau berhampiran bandar juga boleh dijadikan kawasan perlindungan primat.

Suasana pagi di Taman Botanik Rimba Ilmu, Universiti Malaya. Rimba Ilmu merupakan bekas ladang getah yang berjaya dipulihara menjadi hutan sekunder.

Kawasan-kawasan tersebut boleh ditambahbaik dari segi kualiti habitatnya dengan memastikan persekitaran yang selamat dan cukup untuk menampung populasinya dengan sumber-sumber makanan dan tempat berteduh yang tersedia. Kera dan Lotong telah terbukti boleh hidup berdekatan dengan penempatan manusia namun dengan statusnya sebagai “Endangered”, Bangkatan perlu perhatian istimewa dan kurang pendedahan dengan aktiviti manusia.

Habitat asal Bangkatan seringkali diganggu kerana menjadi tumpuan untuk memperoleh sumber bakau. Oleh itu, kerosakan habitat asal primat-primat ini harus dipandang serius dan dipantau selalu. Bukan itu sahaja, kesedaran harus bermula dengan penduduk tempatan itu sendiri bagi memelihara primat ini supaya kelangsungan mereka akan berterusan untuk generasi akan datang. Persoalannya bukan “Bolehkah kita hidup bersama mereka?” tetapi “Bolehkah mereka hidup bersama kita?”

Dzulhelmi Nasir merupakan pelajar Ijazah Kedoktoran bagi program Ekologi dan Biodiversiti di Universiti Malaya.

Suriyanti Su yang berasal dari Kudat, Sabah merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda (2008) dan Ijazah Sarjana (2011) Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang sains Akuatik. Beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia pada peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Mikrobiology Marin.

Khairunnisa Syaripuddin adalah graduan Ijazah Sarjana Muda (2012) dan Ijazah Sarjana (2014) Universiti Malaya bagi program Ekologi dan Biodiversiti yang berasal dari Miri, Sarawak.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
bottom of page